Monday, December 28, 2015

Perginya orang tersayang

Tanggal 27 Disember 2015, antara jam 12 tengahari hingga 1.30 petang, menjadi detik hitam bagi diri ini apabila ayahku telah kembali ke Rahmatullah meninggalkan kami selama-lamanya.

Kehilangan orang yang amat aku sayangi memang memedihkan. Aku bukan sahaja kehilangan seorang ayah, malah kehilangan teman yang cukup rapat. Tiada lagi teguran, nasihat dan tempat aku mengadu domba. Tiada lagi guru sebagai pemberi semangat serta bimbingan. Kini ku sendirian dalam mengemudi keluargaku serta menjaga ibuku.

5 Disember 2017 kira-kira jam 9 malam. Ayah telah diserang stroke. Tiba-tiba sahaja beliau longlai ketika duduk di ruang tamu rumah kami. Panik. Itulah keadaan kami sebelum menghubungi ambulan untuk bantuan. Aku hanya mampu memeluk erat tubuh ayah dari belakang. Ya Allah!!! Selamatkanlah ayahku...itu saja yang terdetik dalam hatiku. Merayu kepada Allah...Setelah ambulan tiba, ayahku dibawa terus ke Unit Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur. Aku ikut masuk sekali di dalam ambulan, menemankan ayah. "Tolonglah...urutkan pinggang. Rasa macam nak pecah. Tolonglah!", itulah rayuan ayah kepada paramedik semasa dalam ambulan.

Setibanya di HKL, ayah kembali normal. Doktor dan nurse membuat diagnosis sambil diperhatikan ayah. Menyusul kemudian, emak dan keluargaku pun tiba di unit kecemasan. Kami diarahkan keluar ketika itu. Menanti dengan penuh debaran. Kemudian, kami telah dipanggil dan mengikut kata doctor, paru-paru sebelah kanan ayah telah dipenuhi darah. Ayah telah dipindahkan ke IJN keesokan harinya, kira-kira jam 4 pagi. Di sana ayah telah melalui 2 pembedahan membetulkan salur darah utama yang telah pecah. Dari ICU ke ICC dan kemudian ke HDD, nampak perubahan positif.

Mungkin sudah ajal ayahku, setelah bertahan lebih 20 hari beliau telah kena satu lagi serangan jantung. Antara percaya dan tidak, ayah telah meninggalkan kami selama-lamanya. Hari di mana kami sekeluarga sepatutnya sampai di Langkawi bercuti. 27 Disember 2015 tarikh yang akan kekal dalam ingatanku.

 

Doa untuk Arwah Ayah
Ya Allah! Sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh ayahku, Abdul Halik Bin Sarbini.

Ya Allah! Ampunilah dosanya, kasihanilah dan sejahterakanlah dia. Maafkanlah segala kesalahannya, muliakanlah kedatangannya dan lapangkanlah kuburnya. Terimalah kebaikannya dan hapuskanlah kesalahannya dengan rahmatmu ya Allah, Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Ya Allah, Tuhan sekelian alam! Berilah keampunan kepada ayahku…Angkatlah darjatnya di kalangan orang-orang yang diberi petunjuk. Kurniakanlah keampunan untuknya, lapangkanlah untuknya dan terangilah untuknya di dalam kuburnya.

Ya Allah! Jadikanlah lubang kubur ayahku sebagai salah satu daripada taman-taman syurga dan jauhkan lubang kuburnya daripada lubang-lubang api neraka. Sayangilah dia, peliharalah dia dari azab kubur dan azab api neraka, masukkanlah dia ke dalam syurga dengan rahmatmu ya Allah, ya Tuhanku.

Ya Allah! Cucurilah rahmatmu kepadanya sebagaimana dia mencurahkan kasih sayangnya kepada kami semasa hidupnya.  Berlembutlah dengannya dan pandanglah dia dengan pandangan kasih sayang sebagaimana dia dahulu memandang kami.

Ya Allah! Janganlah sampaikan berita tentang kami yang mengecewakan beliau serta jangan bebankan dosa-dosa kami kepadanya.

Ya Allah! Kau perkenankanlah doa ku ini ya Allah…